Semasa pembentangan Belanjawan 2020 yang lalu, pihak kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah mengumumkan program rangsangan digital bernilai RM 450 juta yang dikenali sebagai e-Tunai Rakyat. Pelaksanaan e-Tunai Rakyat ini bagi menggalakkan penggunaan e-dompet serta pembayaran digital untuk transaksi yang lebih selamat tanpa tunai dalam dunia perniagaan tempatan terutamanya yang melibatkan perniagaan kecil serta runcit. Program ransangan digital ini akan dilancarkan pada bulan Januari 2020.
Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) telah dilantik oleh Kementerian Kewangan sebagai penyelaras bagi melaksanakan inisiatif e-Tunai Rakyat dan turut melibatkan kerjasama dengan agensi lain termasuklah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan juga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Khazanah juga bertanggungjawab memastikan inisiatif e-Tunai Rakyat dapat dilaksanakan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Malah, ciri – ciri keselamatan pengguna mestilah dititikberatkan semasa melaksanakan program inisiatif e-Tunai Rakyat ini.
Syarat – syarat Kelayakan
- Warganegara Malaysia
- Berumur 18 tahun ke atas pada tahun 2020
- Berpendapatan tahunan kurang daripada RM100,000 setahun
Program e-Tunai Rakyat ini dilihat selari dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan menjadikan proses digitalisasi lebih mudah untuk semua tanpa ada halangan dari segi akses kepada teknologi digital. Ia sangat memberi manfaat kepada orang ramai termasuklah pengguna dan peniaga tempatan serta menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang maju dalam dunia ekonomi digital di kalangan masyarakat.
Tutorial e-Tunai dengan e-Wallet
Boost
TnG eWallet
Khazanah juga diberi tanggungjawab untuk memilih pengendali perkhidmatan e-dompet yang secara amnya telah memiliki platfom sedia ada dengan jumlah pengguna yang ramai serta rangkaian perdagangan yang begitu luas untuk melaksanakan inisiatif e-Tunai Rakyat ini. Oleh yang demikian, terdapat tiga pengendali perkhidmatan telah dipilih untuk melaksanakan program ini iaiti Touch ‘n Go eWallet, GrabPay dan juga Boost.
Ketiga – tiga pengendali perkhidmatan ini dipilih berdasarkan empat kriteria berikut :
- Bilangan pengguna yang ramai dan aktif. Ia bertujuan bagi memastikan inisiatif e-Tunai Rakyat dapat diberikan secara meluas di kalangan rakyat Malaysia yang layak
- Rangkaian perniagaan yang meluas. Ia membolehkan lebih ramai peniaga dapat memanfaatkan perbelanjaan insentif manakala pengguna juga boleh menikmati pelbagai pilihan barangan dan perkhidmatan
- Kepakaran teknikal, kekuatan kewangan serta sumber manusia bagi membina sistem, proses dan prosedur yang diperlukan untuk melaksanakan program ini serta keupayaan untuk mengendalikan urusniaga dalam jumlah yang besar bagi tempoh yang singkat
- E-wallet yang telah melabur di Malaysia dalam perkhidmatan masing – masing
Melalui program ini, sebanyak RM 30 akan dikreditkan ke akaun e-wallet individu bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai di kedai – kedai yang terlibat dan nilainya mungkin akan ditambah berdasarkan syarat – syarat yang ditawarkan oleh pengendali perkhidmatan. Tawaran insentif tambahan yang mungkin ditawarkan oleh pengendali perkhidmatan juga dapat menggalakkan penggunaan dompet digital dalam tempoh dua bulan program ini dilaksanakan. Wang inisiatif RM 30 ini boleh digunakan untuk membeli barangan serta perkhidmatan melalui e-wallet pilihan masing – masing.