Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan dekoder bagi TV digital yang baru dilancarkan bernilai RM199 akan diberikan secara percuma kepada 4.2 juta penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M). Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah tersebut adalah satu lagi usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.
Melalui majlis pelancaran perkhidmatan televisyen terestial digital (DTT) atau dikenali sebagai myFreeview malam ini, Najib bangga mengatakan Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia yang menyediakan dekoder percuma untuk rakyatnya.
“Berbanding negara-negara maju dan negara – negara jiran di Asia, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengambil pendekatan menyediakan dekoder percuma untuk rakyatnya, terutamanya bagi mereka yang memerlukan bantuan,” kata Najib.
“Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan sebanyak 2.2 juta dekoder percuma sebagai tambahan kepada dua juta set dekoder yang diberikan oleh (myFreeView operator) MYTV Broadcasting Sdn Bhd.” tambah beliau lagi.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dekoder percuma adalah sebanyak 4.2 juta iaitu kepada penerima BR1M yang tersenarai”kata Najib.
“Hal ini membolehkan golongan itu menikmati siaran digital, MyFreeview percuma tanpa yuran bulanan”.
MyFreeview merupakan projek yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyediakan perkhidmatan penyiaran televisyen digital dan radio terbaik secara percuma.
Pengguna boleh membeli dekoder berkenaan daripada peruncit elektronik di seluruh negara.
Lebih daripada 60 buah negara di seluruh dunia telah memulakan perubahan dari televisyen analog kepada siaran digital sejak tahun 2007.
Manakala negara-negara Asia mensasarkan untuk menghentikan televisyen analog antara tahun 2015 hingga 2020. Malaysia menetapkan untuk menghentikan siaran televisyen analog pada Jun 2018. Dijangkakan, 98 peratus daripada penduduk Malaysia akan mempunyai akses kepada perkhidmatan myFreeview pada suku terakhir 2017.
Penonton akan dapat mengakses sembilan stesen percuma iaitu TV1, TV2, TVi, TV AlHijrah, TV3, NTV7, 8TV, TV9 dan Bernama News Channel, serta tambahan empat stesen radio RT.