CARUMAN KWSP SURIRUMAH

Kerajaan hari ini telah memperuntukkan sebanyak RM 20 juta bagi melaksanakan fasa pertama Program Sukarela Insentif (SURI), di mana program ini telah diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kementerian Wanita. Program ini akan memberi manfaat kepada hampir 359,065 orang suri rumah yang layak apabila mereka mendaftar di dalam sistem e-Kasih. Manfaat yang bakal diterima berbentuk insentif menerusi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Program SURI ini mensasarkan tiga peringkat di mana surirumah kepada Ketua Isi Rumah (KIR), balu, ibu tunggal dan wanita bujang yang telah mendaftar di dalam sistem e-Kasih. Pada peringkat permulaan, iaitu di fasa pertama pelaksanaan, kerajaan akan memberi sumbangan sebanyak RM 40 sebulan kepada setiap pencarum sukarela dengan jumlah minimum RM 5 ke akaun KWSP. Bagi pelaksanaan fasa kedua pula, kerajaan akan meningkatkan sumbangan kepada RM 50 di mana sebanyak RM 10 akan disalurkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai sumbangan pencarum. Ia dijangka akan dilaksanakan bermula pada tahun hadapan. Fasa peringkat ketiga pula, sebanyak dua peratus sumbangan KWSP pihak suami pula akan dimasukkan ke dalam akaun isteri dan fasa peringkat ini akan dilaksanakan pada awal tahun 2020.

Pengumuman ini dibuat semasa Timbalan Perdana Menteri menyampaikan ucaptama semasa Persidangan Antarabangsa Keselamatan Sosial 2018 (ISSC2018) yang turut dihadiri oleh Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman bersama Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan juga Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. Tujuan utama skim ini dilaksanakan adalah untuk memupuk budaya menyimpan di kalangan suri rumah biarpun caruman permulaan hanyalah RM 5 sebulan. Menurut beliau juga, pelaksanaan Program SURI ini menunjukkan pihak kerajaan sentiasa mengiktiraf serta menjaga kebajikan wanita dalam meningkatkan taraf kehidupan serta menambahbaik kedudukan kewangan wanita di negara ini.

Bagi memastikan kelancaran program ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menjelaskan bahawa perlu adanya kajian secara menyeluruh menerusi kerjasama bersama syarikat telekomunikasi dan juga bank tempatan. Individu yang telah pun mendaftar dengan e-Kasih akan secara automatik menerima kemudahan insentif ini. Walaubagaimanapun, mereka perlu membuka akaun KWSP terlebih dahulu dengan caruman minima RM 5 sahaja.