Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) telah memperkenalkan satu lagi skim bantuan khas untuk anak istimewa di negeri Selangor. Skim bantuan ini dikenali dengan nama Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS). Bantuan ini terbuka kepada ibu bapa yang memiliki anak istimewa atau anak kelainan upaya (OKU) dengan had maksima sebanyak RM 5,000 setahun untuk satu keluarga.
Tujuan bantuan ini diberikan bagi membantu para ibu bapa atau penjaga anak OKU mengurangkan kos sara hidup (bantuan makanan dan keperluan tambahan), kegunaan semasa waktu kecemasan, sebagai kos pemulihan untuk membeli ubat-ubatan, alat bantuan sokongan serta untuk kos pendidikan khas atau terapi yang perlu ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.
Syarat dan Kriteria Kelayakan
Pemohon perlu memenuhi syarat dan kriteria berikut sebelum membuat permohonan. Permohonan yang tidak memenuhi kriteria berkemungkinan ditolak oleh pihak YAWAS.
- Pemohon mestilah terdiri dari ibu / bapa / penjaga kelahiran negeri Selangor
- Sekiranya pemohon bukan kelahiran negeri Selangor, permohonan masih boleh dilakukan dengan syarat mestilah telah menetap di Selangor sekurang – kurang 10 tahun dan ke atas (pemohon perlu mendapatkan cop pengesahan pemastautin daripada pihak pengesah yang dibenarkan)
- Anak OKU mestilah berumur di bawah 18 tahun
- Anak OKU mestilah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memiliki Kad OKU yang sah
- Sekiranya anak tidak memiliki Kad OKU, surat pengesahan doktor adalah diperlukan sebagai bukti pengesahan
- Bagi ibu / bapa / penjaga kepada anak angkat OKU mestilah memiliki surat pengakuan anak angkat yang sah dan berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan (JPN) dan Akta Pengangkatan 1973
Cara Memohon
- Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi www.anis.yawas.my
- Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dicetak dan dihantar dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh permohonan bersama – sama salinan dokumen yang diperlukan
- Permohonan yang lengkap perlu dihantar kepada Pejabat Yayasan Warisan Anak Selangor / Pusat Khidmat Masyarakat DUN berhampiran / melalui emel di alamat [email protected]
- Permohonan yang tidak lengkap tidak akan diproses oleh pihak YAWAS
Senarai Dokumen Sokongan Yang Diperlukan
Setiap permohonan perlu disertakan dengan salinan dokumen berikut :
- Salinan MyKad pemohon dan pasangan
- Salinan Kad Nikah / Sijil Daftar Nikah Ibu Bapa Anak OKU
- Salinan Surat Perakuan Anak Angkat (sekiranya berkenaan)
- Salinan MyKad anak istimewa
- Salinan Kad OKU yang sah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat atau surat pengesahan doktor sekiranya anak bermasalah (sekiranya tidak memiliki kad OKU)
- Sekiranya ibu / bapa / penjaga bukan kelahiran negeri Selangor, cop pengesahan pemastautin adalah diperlukan sebagai bukti pengesahan
- Salinan preskripsi dari doktor yang sah dengan spesifikasi khusus (bagi keperluan khusus, makanan, pembelian peralatan / mesin serta ubat-ubatan yang disarankan oleh doktor)
- Salinan surat tawaran dari pusat pembelajaran, harga yuran pembelajaran dan penyata bank pusat pembelajaran (bagi pendidikan atau pembelajaran khas / sesi pemulihan atau terapi anak OKU)
Tarikh Permohonan
Permohonan boleh dibuat mulai 15 Februari 2021 secara dalam talian.
Ibu bapa atau penjaga yang memiliki anak OKU lebih dari seorang boleh membuat permohonan secara berasingan. Walau bagaimana pun, setiap keluarga hanya layak menerima bantuan sebanyak RM 5,000 sahaja untuk satu keluarga. Selain anak OKU, anak yang menghidap autism juga boleh membuat permohonan yang disertakan bersama dokumen pengesahan dari doktor.
Bagi permohonan pembelian alat bantuan sokongan, pemohon hanya boleh mendapatkannya melalui panel YAWAS yang telah dilantik secara sah sahaja. Pemohon tidak boleh membelinya di luar dan tidak boleh menuntut sebarang bayaran dari YAWAS menggunakan lampiran resit pembelian.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut boleh diperolehi dari ibu pejabat YAWAS di :
Aras 5, Kompleks Generasi Muda dan Sukan Negeri Selangor
Lot 4, Jalan Platinum 7/52
Seksyen 7, Persiaran Kayangan
40000 Shah Alam, Selangor
Nombor telefon Hotline : 03-5481 8800
Emel : [email protected]
Laman web : http://www.yawas.my/