Apa itu ASNB

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah sebuah syarikat pengurus unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB). ASNB ditubuhkan pada 22 Mei 1979. ASNB bertanggungjawab untuk mengurus tabung unit amanah yang dilancarkan oleh PNB iaitu tabung unit amanah ASN, ASN 2, ASN 3, ASG-Pendidikan, ASG- Kesihatan, ASG-Persaraan, ASB, ASW 2020, ASM dan ASD. Kini, terdapat 28 cawangan ASNB di seluruh Malaysia.

Selama lebih 30 tahun berada dalam industri ini, ASNB kini mengurus 12 dana yang bernilai RM207.398 bilion pada tarikh catatan terakhir. ASNB terus mengekalkan kedudukannya sebagai syarikat pengurusan unit amanah utama di negara ini dengan memegang lebih 40% daripada jumlah keseluruhan unit dalam edaran.

Antara produk – produk yang dikeluarkan oleh ASNB ialah Skim Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Nasional 2 (ASN2), Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN3), Amanah Saham Gemilang (ASG), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020), Amanah Saham Malaysia (ASM), Amanah Saham Didik (ASD) dan Amanah Saham 1Malaysia (AS 1MALAYSIA). ASB merupakan tabung unit amanah terbesar negara dan kini mempunyai lebih 9 juta pelabur yang melanggan kira-kira RM143 bilion unit ASB.

Pengerusi ASNB terkini adalah YBhg Tan Sri Abdul Wahid Omar. ASNB juga terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pelaburan Dana yang bertanggungjawab menyediakan polisi pelaburan dan garis panduan bagi pengurusan dana yang berkesan dan cekap dengan menggabungkan tadbir urus korporat yang baik dan amalan terbaik dalam pengurusan dana, menyediakan panduan ke arah memenuhi objektif dana dan memastikan pulangan yang kompetitif kepada pemegang unit, meluluskan pelan dan strategi pelaburan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi meningkatkan dan memaksimumkan nilai portfolio pelaburan serta mempertimbangkan semua perkara yang difikirkan sesuai.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh ASNB merangkumi pendaftaran akaun, skim pelaburan, jualan balik unit pelaburan dan sijil, tuntutan harta pusaka dan perancangan perwarisan. ASNB Berhad amat komited dalam memberi perkhidmatan pelanggan yang cemerlang. Untuk mencapai objektif ini, ASNB telah melancarkan Program “I CARE, I SUGGEST” pada tahun 2006 bagi membolehkan orang ramai berkongsi idea dan cadangan yang membina untuk membantu ASNB menawarkan perkhidmatan yang lebih cemerlang.

Antara faedah pelaburan dengan syarikat ASNB ialah mempelbagaikan pelaburan dalam pelbagai kelas aset dan sektor-sektor yang berbeza akan mengurangkan risiko pelaburan individu kerana ia memberi peluang kepada pelabur-pelabur yang ingin melabur dengan modal yang kecil. Pelabur juga berpeluang mendapat khidmat pengurus profesional yang selalunya tidak dapat dinikmati oleh pelabur individu yang melabur dengan modal yang kecil. Selain itu, pentadbiran jual, beli dan pegangan pelaburan dalam unit amanah adalah lebih mudah jika dibandingkan dengan pegangan portfolio pelaburan dalam pasaran modal yang dibuat secara langsung oleh pelabur. Dalam ASNB, pelabur boleh menjual balik sebahagian atau semua unit amanah pada bila-bila masa dalam waktu perniagaan.

Bermula 28 Jun 2017, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) telah menambah baik dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan di mana pelabur hanya perlu membawa kad pengenalan sahaja untuk berurus niaga. Berbanding sebelum ini pelabur perlu membawa buku pelaburan dan kad pengenalan untuk berurus niaga dengan ASNB.


Selain itu, ASNB juga akan menaik taraf sistemnya dengan menggunakan ‘Fund Distribution System’ (FDS) menggantikan ‘Unit Trust System’ (UTS). Penambahbaikan sistem operasi ini juga meluaskan rangkaian ejen yang menawarkan urus niaga ASB, meliputi Bank Simpanan Nasional, Affin Bank dan Ambank, menjadikan rangkaian cawangan ejen ASNB yang menawarkan ASB kini meningkat kepada 2,262 cawangan.

Kemudahan yang diberikan kepada pelabur termasuklah diberi satu nombor akaun unik yang mempunyai 12 digit untuk pelaburan dalam mana-mana unit amanah ASNB. Nombor akaun 12 digit ini akan menjadi rujukan apabila pelabur berurusniaga dengan ASNB tidak kiralah untuk pelaburan dalam ASB, ASB2, ASM, ASN, ASN 2 atau unit amanah ASNB yang lain.