Bantuan Rakyat 1Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia cukup memberi impak positif kepada rakyat Malaysia terutamanya yang berpendapatan rendah. Sudah pasti penerima BR1M sentiasa menantikan tarikh sebenar bantuan diagihkan. Ibarat menunggu buah yang tidak gugur. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan bahawa pada hari Jumaat, 2 Mac 2018, hampir 90 peratus penerima BR1M akan menerima bantuan pertama mereka. Walaubagaimanapun, bayaran ini dilakukan secara berperingkat ke akaun penerima dan bagi yang masih belum menerima bantuan dinasihatkan agar bersabar buat seketika. Penerima BR1M yang berhadapan dengan masalah untuk mengeluarkan wang bantuan tersebut perlulah merujuk kepada cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri yang berdekatan.
Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) iaitu Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, bantuan ini telah mula diagihkan kepada penerima BR1M bermula 26 Februari 2018. Bantuan Rakyat 1Malaysia ini telah memberi manfaat kepada kira – kira tujuh juta rakyak yang layak dengan peruntukan sebanyak RM 6.3 bilion. Pembayaran ini dilakukan dalam tiga fasa iaitu Fasa Pertama pada 26 Februari 2018, manakala fasa berikutnya dijangka akan dilakukan pada bulan Jun dan Ogos 2018.
Bagi pemohon yang menyertakan nombor akaun bank semasa permohonan, bantuan akan dikreditkan terus ke akaun bank yang telah didaftarkan. Pemohon perlu memastikan nombor akaun yang diberikan adalah tepat bagi mengelakkan sebarang masalah kemasukan wang bantuan. Pengkreditan wang bantuan BR1M ke akaun pemohon bergantung kepada sistem bank para penerima. Namun begitu, pemohon yang tidak mempunyai akaun bank akan menerima bantuan secara pembayaran baucar yang akan diposkan kepada penerima melalui alamat yang diberikan. Baucar ini boleh ditunaikan di mana – mana cawangan bank Bank Simpanan Nasional berdekatan. Baucar bayaran ini juga akan diposkan secara berperingkat dan berkemungkinan ada penerima yang menerima agak lewat baucar tersebut.
Bayaran bantuan ini yang dibayar secara berperingkat hanya akan melibatkan penerima BR1M Kategori Isi Rumah sahaja. Bagi penerima Kategori Bujang, pembayaran hanya akan dilakukan sekali sahaja pada bulan Februari atau Mac 2018. Masing – masing penerima akan menerima bayaran antara RM 450 sehingga RM 1,200 bergantung kepada kategori pemohon.